KUANTAN: Polis kini sedang mengambil keterangan beberapa individu berhubung insiden menghalang penjawat awam menjalankan tugas ketika operasi penguatkuasaan di hutan simpan di Raub yang dipercayai diceroboh bagi penanaman durian musang king, baru-baru ini.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata setakat ini pihaknya telah mengenal pasti kira-kira 20 individu termasuk seorang wakil rakyat bagi membantu siasatan.

"Polis dalam proses melengkapkan siasatan sebelum tindakan lanjut diambil dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan," katanya di sini hari ini.

Selasa lepas, dua individu termasuk seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan kerana dipercayai menceroboh kawasan berkenaan dan berlaku provokasi serta sekatan ketika membawa keluar mereka daripada lokasi tersebut.

Yahaya berkata tiga lelaki termasuk seorang warga Myanmar turut ditahan semalam atas kesalahan menceroboh kawasan sama dan mereka yang ditahan diserahkan kepada Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 47 (1) Akta Perhutanan Negara 1984.

Mengulas lanjut, beliau berkata operasi pada Selasa hanya melibatkan lebih 50 anggota dan pegawai polis antaranya daripada Unit Tempur Ringan (LSF) bukannya Unit Simpanan Persekutuan (FRU) seperti didakwa.

Sementara itu, Yahaya mengingatkan kepada semua pihak supaya memberikan kerjasama yang baik dan mematuhi undang-undang ditetapkan.

"Jangan cetuskan provokasi, polis ambil tindakan berdasarkan undang-undang sedia ada malah saya nak ingatkan jangan memainkan sentimen 3R (raja, agama dan kaum) dalam isu ini," tegasnya.

-- BERNAMA